Blog Header

Senja: Episod 6

heaven, stars, moon-5114501.jpg

Hari terakhir di pejabat buat rasa dia berbaur. Sedih, gembira, seakan tidak percaya dia bakal menjadi penganggur paling berjaya. Akulah yang bakal mengejar segala impian. Akulah watak utama dalam sebuah novella. Lega. Itu rasanya. Lega meninggalkan sebuah tempat yang buat dia belajar dunia kerjaya.

Selang sehari dari tarikh akhir, bertalu jemputan temu duga hadir. Namun sayang, semua dia tolak. Gusar jika dia terima, tidak sampai setahun dua dia akan pergi lagi. Ah, penatlah! Bukan dia memilih kerja, cuma dia rasa hidupnya ada lagi yang lebih menarik dari sekadar menghadap sebuah pekerjaan yang buat dia rasa itu bukan tempat dia. Dan dia berani mati lompat tanpa sebarang jaminan. Tawakkal saja jawapannya.

Alasan? Dia mahu santai menghadapi bulan Ramadan. Mahu tenang tanpa sebarang paksaan yang belum tentu ada penambahbaikan kerjaya. Ah, selalu jua dia merungut. ‘Sampai bila mahu setia di ruang kecil yang takut itu ini?’ Lantas dia terjun. Terjun tanpa sebarang payung. Terjun tanpa sebarang pelampung. Lemas? Terhempas? Hidup atau bernyawa? Dia sendiri tidak tahu.

Banyak aspek kehidupan buat dia kadang termenung sendiri. Berbaur benar rasa malam ini.

Lebih pulak malam Ramadan yang ke-enam ini kali pertama dia bertaraweh di masjid bersama insan tersayang. Lain benar rasanya. Syahdu, sayu, sedih, rasa seperti merayu pada Tuhan agar hidup ini dipermudahkan. Agar matinya kelak husnul khatimah. Tanpa sedar mengalir jua air mata. Setiap kali ke tempat sebegini, laju saja jiwanya terusik. Laju saja air matanya menitik. Jiwanya rasa lemah. Tidak sekuat seperti nasyid Qathrunada yang sering dia alun kala sekolah rendah dahulu.

Orang yang kuat jiwa dan berjiwa besar, tidak kenal kecewa dalam perjuangan…

Dia tewas.

Dia bukan mahu buang semua. Dia hanya perlu sokongan dari orang yang mewujudkan dia ke dunia. Itu saja. Dia bukan mahu bermusuh lama. Siapalah dia untuk memusuhi mereka? Dia sekadar picisan yang lahir dari sebahagian dari mereka. Ah, menyesal jua terlahir di dunia ini.

“Kita tak boleh nak halang sebuah kelahiran. Kita kena tempuh, sabar dan hadap. Memang sakit. Memang perit. Jawapan kita adalah terusan kuat. Bersama…” dia tersenyum cuba mengalirkan kekuatan pada jiwa yang kian rapuh.

“Kadang, saya rasa takde sebab untuk wujud kat dunia ni. Rasa macam mesti dunia ni menarik jika saya tak lahirkan. Mesti semua orang lebih senang dengan ketiadaan saya…” dia kalih pandang ke luar. Lampu neon di jalan semakin berkaca. Tahulah dia yang dia sudah memecah tembok retina yang ditahan usai taraweh tadi. Perlahan suaranya bertukar menjadi sengau.

“Saya tak kuat…saya nak give up…”

Semakin dia tahan, semakin deras air matanya merembes keluar. Terdengar lagu Bintang oleh Budak Kacamata diputar oleh frekuansi radio Suria sayup menjadi lagu latar.

Bintang kau jangan bersedih
Bintang kau jangan menangis
Tiada mampu ku ke sana walau telah direncana
Bintang kau tinggi di atas
Ku duduk rendah di bawah
Hidup mu berteman bulan bukan insan kekurangan…

‘Ah sudah, dan dan time ni kena pulak sound tracknya…’ dalam sedih hatinya mendesis.

“Awak, saya ada ni. Kita hadap sama-sama. Kita tempuh sama-sama okay. Saya ada je…”

Dia cuba untuk mencari kekuatan di balik senyuman yang perit. Paling kurang sekarang dia menangis punya teman. Lebih baik dari dia menahan tangis dan meraung sakit sendirian. Dia punya jiwa yang sentiasa memberi kekuatan. Dia harus syukur dengan kebahagian yang dipinjam ini. Dia bukan tidak kuat. Cuma ada masanya dia kecundang. Rapuh itu tetap menembusi tembok egonya. Dalam situasi begini dia tetap bahagia. Walau tangis esak dia tetap syukur.

Nikmat Tuhan yang mana lagi kamu dustakan…

Bintang jangan kau terus begini
Nanti malam mu tiada berseri
Kita akan tetap bersama untuk selamanya
Cuma lain suasana…

“Saya nak borak lama lagi dengan awak ni. Boleh ke?” dia minta izin.

“Boleh je, tapi saya risau lewat nanti nak ke sana.”

Ya, dia sedia tahu. Bintang yang di hadapan dia ini punya dua dunia yang perlu dijaga. Jadi dia perlu kuat.

Bintang hentikanlah
Tangisan yang akan menyiksa diriku
Bintang dengarkanlah
Ada satu pesanan terakhir dariku
Bintang kau pergilah
Kerna itulah yang terbaik untukmu

Senja itu berlalu sehingga kelam malam bulan kelihatan. Sabit bentuknya, indah sekali. Subhanallah.

Bintang
Percayalah hanya engkau satu di dalam hidupku
Bintang…

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Scroll to Top