Dengar cerita ramai yang teringin beli rumah. Tapi masih mampu tengok je dulu. Nak membeli, masih lagi mengumpul. Habis kerat tenaga dah dikerah pulas sampai kering keringat. Makin lama, duit yang dikumpul buat bayaran muka tetap juga belum mencukupi.
Zaman dah keras kawan. Azam dalam hati yang rezeki itu semua dari Tuhan. Niat untuk membeli rumah itu bukan untuk bermewah. Cukuplah menyediakan yang terbaik buat keluarga. Kecil manapun, jika ia milik kita walau sementara pun sudah tersenyum lega.
Proses carian rumah untuk dibeli ni bukan sekadar melepaskan batuk ditangga. Kalau betul ingin, usaha tu memang kena ada. Usaha, ikhtiar dan tawakkal. Itu prinsip sebagai seorang muslim.
Jadi kali ni aku kongsikan dengan kalian senarai website yang boleh membantu kalian dalam proses mencari rumah idaman disamping menambah pengetahuan dalam industri hartanah.
TEDUH
“Sistem Bank Data Perumahan Negara (TEDUH) adalah portal yang memaparkan maklumat dan fungsi carian berkaitan projek-projek dan program-program perumahan awam dan swasta di Malaysia. Sistem Pengurusan Perumahan Negara atau SPRN merupakan salah satu komponen dalam TEDUH yang berfungsi sebagai gerbang ‘one-stop centre’ bagi individu yang ingin memohon program atau skim perumahan.
TEDUH juga merupakan inisiatif kerajaan melalui Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam usaha menyediakan saluran rasmi yang inklusif bagi maklumat perumahan awam dan swasta kepada rakyat, agensi kerajaan, badan berkanun, agensi pembiayaan perumahan dan pemaju swasta.”
Kalau korang pergi dekat pautan ‘Perumahan Swasta’ – ‘Projek Perumahan Swasta’; pautan ni korang boleh masukkan nama projek yang korang nak tahu, dan di situ dia akan paparkan secara terperinci rekod daftar bagi projek yang kita cari tadi. Antara maklumat yang dipaparkan adalah:
- Maklumat pemaju
- Maklumat projek
- Maklumat perjanjian jual beli
- Status terkini projek
- Paparan keseluruhan unit: Dekat sini korang boleh tengok status unit Telah Dijual, Belum Dijual, Unit Kuota Bumi serta Jumlah Unit
- Iklan yang diluluskan
- Lokasi projek
Selain daripada sekadar tahu nama pemaju, kita juga perlu familiar dengan nama-nama kontraktor yang terlibat dalam menjayakan pembinaan rumah tersebut. Mengenal pasti kontraktor utama bagi sesebuah projek dapat membantu kita mengenal pasti jenis ‘defect’ yang kita akan hadapi ketika kita mendapat milikan kosong atau dalam English ‘Vacant Possession’ nanti.
Defect ni bukanlah perihal kecil selepas kita mendapat kunci nanti. Jadi kena siapkan jiwa raga, masa dan poket yang tebal juga bagi memastikan kediaman kita itu selesa serta dalam kondisi yang selamat didiami.
Gambar di bawah ni merupakan contoh info yang akan dipaparkan bila korang buat carian.
Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta
(https://search.lppeh.gov.my/)
Katalah rumah yang korang berkenan tu ada diiklankan oleh sekian agen. Untuk memastikan kesahihan agen tersebut korang perlu selidik jugak latar belakang mereka. Bagi menyelidik samada firma yang mereka kerja itu betul-betul berdaftar dan takde masalah apa-apa, korang boleh pergi ke LPPEH Search Firm ni.
Kita kena tahu juga peranan agen dalam pencarian serta proses pembelian aset terbesar kita ni. Nak-nak pulak ada setengah agen kata, agen fee 3% + SST. Ada kata, 3% termasuk SST. Jadi terpulang pada korang nak mencari agensi yang macam mana. Janji…janji semuanya telus dan ada hitam putih.
Ingat tu. kita sekarang tengah berurusan dengan aset yang makan 6 angka. Untuk setengah orang memang mereka boleh sedebuk bayar tunai. Tapi macam mana macam mana sekalipun, baik berwaspada daripada terkena. Satu sen pun duit ui!
Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC)
(https://napic2.jpph.gov.my/ms)
NAPIC merupakan akronim kepada National Property Information Centre atau Pusat Maklumat Harta Tanah Negara. NAPIC ditubuhkan atas gesaan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berkehendakkan sebuah pusat maklumat harta tanah ditubuhkan bagi tujuan memantau pertumbuhan industri harta tanah di seluruh negara.
Haaa….website ni tersangatlah menarik untuk kita kaji trend industri hartanah. Selain pada tu, kita juga boleh baca kajian serta laporan yang ada ni bagi kita tahu nilai sesebuah hartanah tersebut.
Memang kadang rasa betul ke rumah ni balance antara demand dengan supply dia? Tengok macam isu ni takkan pernah ada penghujung. Sebab kita sendiri tahu permainannya bagaimana. Cuma hadap tak hadap saja…Kualiti vs kuantiti kata orang
Betul ke kualiti = mahal? Bukan harga rumah memang sedia ada mahal ke? Kenapa masih tiada kualiti?
Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor
(https://ehartanah.lphs.gov.my/lphs/www/)
Kotlah ada rezeki rumah idaman korang tu tersenarai dalam pakej Rumah Selangorku, apa salahnya jimatkan dua-tiga puluh ribu untuk keistimewaan ni.
Yang penting cuba. Dapat tak dapat belakang kira. Lagi-lagi untuk pembeli rumah pertama yang inginkan rumah projek baru,
Kelebihan:
- Jimat kos melalui inisiatif kerajaan.
- Peluang untuk pembeli rumah pertama memiliki rumah projek baru.
Tips:
- Sentiasa semak kelayakan sebelum memohon.
- Manfaatkan insentif kerajaan jika rumah idaman tersenarai dalam skim ini.
Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta
(https://www.jpph.gov.my/v3/ms/)
JPPH ni mak kepada NAPIC dan berkait dengan LPPEH juga. Jadi dalam hal ehwal hartanah, JPPH adalah Jabatan dia. Manakala LPPEH merupakan Lembaganya.
Info penting korang boleh perolehi dari sini seperti semakan status penilaian hartanah korang.
Brickz
Kelebihan:
- Ketahui harga pasaran berdasarkan data transaksi terkini.
- Bantu membuat rundingan harga dengan pemilik rumah.
Tips:
- Gunakan maklumat ini untuk mengelakkan membayar harga terlalu tinggi.
Fungsi Brickz ni untuk korang tahu dan faham harga market value sesebuah rumah yang korang target nak beli tu. Dengan info ni, korang bolehlah guna untuk sesi negotiation harga dengan tuan rumah (kalau korang beli rumah sub-sale atau secara direct owner. Kalau rumah baru memang harga tetap oleh pihak pemaju).
Laman website info hartanah yang lain
- Property Guru: Untuk carian rumah dan iklan hartanah.
- iProperty: Untuk maklumat projek perumahan baru dan rumah sub-sale.
- Mudah.my: Untuk pembelian rumah secara terus daripada pemilik.
- Facebook Marketplace: Untuk mencari rumah yang dijual secara langsung.
Sebagai konklusi, aku boleh gulungkan website tersebut sebagai:
TEDUH | Untuk tengok rekod pengesahan Certificate Of Completion And Compliance (CCC) , tarikh daftar siar, rekod jualan rumah dan lain-lain |
LPPEH | Untuk semak daftar agensi hartanah |
NAPIC | Carian trend pembinaan hartanah di sesebuah kawasan yang kita nak beli |
JPPH | Sekadar info tambahan dan semakan penilaian bagi hartanah yang kita beli |
LPHS | Pendaftaran bagi Rumah Selangorku di bawah inisiatif kerajaan. |
BRICKZ | Semak market value dan nilai transaksi sesebuah hartanah di kawasan sekitar yang kita nak beli. |
Membeli rumah melibatkan dana yang besar, oleh itu memerlukan kajian yang terperinci. Dengan pengetahuan dan rujukan yang betul, korang dapat membuat keputusan yang lebih yakin dan bijak. Selamat mencari rumah idaman anda!