Search
Close this search box.
lightbulb, idea, creativity-3104355.jpg

Larasan Sebuah Jiwa

Suatu yang asing bila terlalu lama sepi dari dunia maya aksara. Ya, kesibukan melaraskan impian untuk mencipta jurnal dalam bentuk gambar bergerak. Sedar-sedar Oktober menjelma.

Dalam merasakan masa terlalu lambat, kadang aku pun berkehendak agar tahun ini disegerakan habis dengan pantas. Ah, manusia dan segala kepantasan.

Aku sebenarnya tadi mahu buat carian untuk peningkatan hidup kendiri. Terlalu banyak cerita yang perlu aku cuci dan buang daripada memori. Ada perkara yang langsung tiada nilai pada matlamat perjuangan, kita buang, campak ia jauh ketepi hingga tidak lagi menjadi duri dan belati yang akan mematahkan semangat untuk terusan bangkit.

Jiwa ini perlu pada pelarasan. Perlu pada keterangan dan keyakinan yang jelas. Jitu. Tiada lagi warna kelabu. Semuanya hitam dan putih. Jika kelabu, maksudnya itu adalah hitam. Berhenti menganggapnya sebagai suatu kesucian. Apa-apa yang jatuh pada kekotoran, ia suatu yang hitam. Bukan putih. Jangan sesekali memperdaya minda. Hanya jiwa yang lemah beranggapan kelabu itu putih.

Kenapa setiap kali aku menaip mesti bahasanya kedengaran baku ya?

Aku pun tak pasti. Tadi ingatkan nak bersantai. Namalah menulis jurnal setelah dua minggu menyepi. Tup, tup begini bahasanya. Formal, tegas dan agak tiada sentimen.

Ah, minda ini banyak benar difikir. Itu ini mahu diselaraskan kembali. Maklumlah enam purnama sudah dia hidup dalam kawasan kelabu bahkan sebenarnya sudah bercampur merah dan hitam.

‘Ah, cerita lama itu suatu pengajaran…’ bisik Jiwanya.

Usahlah kesilapan semalam diulang dan dijadi beban untuk perubahan. Lepaskan ia pergi. Lepaskanlah…kemudian langkah diorak dengan lebih berkeyakinan.

Kita punya pengalaman. Guru terbesar untuk perjuangan.

Kepahitan sebuah realiti. Dilukai, disakiti, dikhianati itu semua guru paling bermakna dan tamparan untuk menyedarkan dia semula.

Hidup ini medan ujian. Jika tenang-tenang aja masakan punya ketahanan jiwa yang tinggi.

‘Baik. Baik..’ akurnya. Menunduk menekur segala khilaf.

Tuhan bagi kita peluang untuk belajar dari kesilapan itu ada hikmahNya. Kita punya waras untuk sentiasa tenang hadapi cabaran. Itu kuncinya.

TENANG.

Tenang itu mahal nilainya.

Sentiasa tenang dalam kabut.

Sentiasa tenang dalam ribut.

Hatta, tetap tenang jua walau hayat diugut.

Tenang…

Jadi Oktober, apa ceritanya?

Step into the daylight and let it go.”

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Scroll to Top