Aku selalu ingat yang kau akan hadir. Hadir sepertimana kau pernah kata untuk lebih serius selepas lima tahun. Selepas kau lebih bersedia.
Aku cakap, kalau kau nak aku tunggu, aku tunggu. Tapi, kau jawab…
“Takpelah, mungkin kita sampai sini…”
Mesej itu aku baca dengan mata berkaca. Sebab? Jiwa sedikit terluka.
Aku sorang je ke yang selalu harap untuk bahagia dalam ‘kita’?
Itu cerita lama. Cerita empat tahun yang sudah. Cerita paling merepek pernah aku hidup. Cerita yang terlalu caca marba. Yang sejak mutakhir ni, aku kerap ingat akan setiap episod kita.
Ah, persetan pada memori.
Masuk tahun kedua kecewa ni, bagi aku…hidup dewasa tidaklah seindah yang aku pernah gambarkan. Indahnya cuma pada duit yang kau genggam. Ukhwah? Sudah lama pudar.
Kadang, aku pun tak tahu iman aku sekarang berada ditakuk mana.
Nafas ditarik dalam dan lama sekali. Melepaskan segala benak dihati yang semakin hari semakin berat menghuni rohani.
“Kau pun tahukan, dalam setiap perhubungan, kejujuran itu paling penting. Kalau orang yang kita kenal dari awal lagi tak jujur, kau nak harapkan apa lagi?” Aku diam. Cuba untuk memastikan pemanduan yang dibawa si penghujah berada dalam garisan selamat.
Malam itu hujan lebat benar. Sehingga berpinar pandangan mata. Pemanduan pun dibiar saja di bawah paras kelajuan yang dibenarkan. Duduk pun di lorong paling kiri.
“Kau bahagia?” tanyaku pada si teman.
“Nak kata bahagia itu tidaklah terlalu bahagia. Cukuplah buat penyeri hidup…” aku angguk. “Tipulah kalau kata dalam perhubungan ni takde gaduh-gaduh. Mesti ada punya…” sambung si teman.
Aku yang disebelah hanya diam menghadam bait kata yang diucap.
Mana hilangnya aku yang konservatif? Kenapa aku sekarang terlalu liberal dan progresif?
“Eh, apa jadi misi korang nak cari calon dekat platform hari tu?”
Aku terus tergelak. “Situ rata-rata semua suami orang. Tak bagi can langsung dengan orang single. End up kitaorang give up.”
Suasana kembali sepi. Mungkin masing-masing tidak mahu terlalu berkongsi kisah peribadi. Mungkin…
Usai menghantar sang teman, aku terus pulang ke rumah. Menunaikan fardhu, membersihkan diri sebelum beradu. Penat!
Laman Tik Tok dibelek buat penglipur lara. Kadang ketawa, kadang menangis. Lumrah alam kata orang.
Dalam 10 minit, aku terus menutup telefon. Mata dipejam. Berharap yang hari esok akan membawa sirna buat seluruh penghuni Bumi yang kian hilang harapan untuk melangsungkan hidup.
Ini cerita aku. Yang kian dimamah senja. Ia mungkin benar, mungkin dongeng khayalan semata. Yang merasa segala hakikat itu, cuma aku. Si penulis senja…