tree, field, sunset-736875.jpg

Senja: Episod 4

“Kau sedia ke untuk hadap semua tu nanti? Jadi bukan prioriti?” soalan dijawab dengan senyuman.

Baik dia diam dari meneruskan hujah pada manusia yang tidak berada di sepatu kita. Diam kerana manusia itu hidupnya suka memberi spekulasi. Diam kerana dia punya hak untuk mengabaikan soalan.

“Habis tu, bila dah tahu, memang nak proceed ke?”

Diam lagi. Sengihannya memang tidak membantu kata orang. Bagai kerang busuknya. Ah, liku apakah ini yang dia pilih.

Kejanggalan menjadi manusia bila dia lupa yang setiap tanduk punya mata sekelilingnya. Punya telinga dan lidah serta hati. Biasalah…terlalu betah sendiri hingga dia tidak kisah pada keji maki.

Tipu lagi…

Tidak habiskan dengan penipuan.

Alah, hidup di dunia ini juga terang lagi bersuluh sebuah penipuan. Tiada apa yang benar. Semuanya reka dan dongeng semata. Tiada yang hakiki.

Penat jiwa dia untuk hadap. Namun itu cerita yang mereka pilih untuk tempuh. Cerita kita, kata dia. Ah, dimana aku dalam mereka?

Senyumnya hambar.

“Banyak sebenar cerita kita. Cerita aku yang tiada mata selain Dia. Cerita aku yang tidak pernah punya apa. Ah, masa macam ni lah lagu si Aisyah bergema. hahahah…” selorohnya tawar. Kelat senyuman terasa di jiwa.

Bagaikan melukut ditepi gantang
Begitulah aku dalam hidupmu
Ada tiada tak memberi kesan
Hanya aku menanggung kerinduan…

“Kau boleh je ubah cerita korang ni. Benda boleh ubah…” ujar si teman. Itu cerita tiga bulan lepas. Cerita yang buat dia lari dari semua orang. Lagi.

Tak habis dengan pelarian, sampai bila?

Selama ni dia terlalu ikut kata orang yang tidak hidup dalam cerita dia. Orang kata itu, itulah yang dia patuh. Hasilnya, yang perit itu dia sendiri tanggung. Ada orang yang menasihat tadi di sisi?

Geleng.

Null.

Hanya dia dan dinding suram gelita menemani saban malam. Mujur ada Tuhan di dada.

Hela dilepas seolah bisa memberi ruang pada senak di jiwa. Otak berselirat namun dia tetap tenang. Tenang kerana dengan gelisah tidakkan menyelesaikan masalah. Baiklah di diam-diam tenang di rumahnya sendiri. Tidak lagi menganggu orang dan sibuk teruja sendirian bertanya khabar.

Dia bukan lagi yang itu.

Dia adalah senja. Yang akan berakhir dengan kelam.

Bukan lagi si mentari pagi yang seperti semua orang pernah idam.

“Akak tak faham dengan kamu, akak tak pernah kenal dan berkawan dengan kamu yang terlalu pesimis dan negatif! Mana pergi kamu yang positif, ceria dan sentiasa memberi inspirasi??” dia diam. Diam kerana dia sendiri tidak menahu dia yang diperkatakan itu. Mungkin sudah dia bunuh gamaknya. Mati bersama virus dua tahun yang sudah.

“Nanti kalau kau koyak ke apa, aku ada je ni…” ujar si teman lagi. Dia hanya ketawa. Aku harap aku tak perlu pada koyakan jiwa dan hidup lagi. Penat! Desisnya.

Jika dirinya yang darjah enam melihat pada kondisinya sekarang, gamaknya berbirat tubuhnya di palu tanpa henti. Dia yang usia 12 tahun itu lebih punya jiwa yang matang dari dia yang sekarang. Sengih sendiri sambil menggeleng kepala.

“Usah terlalu menjadi hamba pada dunia. Pada pinjaman yang seketika cuma. Semua akan ditarik, sekelip mata tanpa kau sedar…kau, bagaimana-bagaimana pun kelak akan sendiri. Percayalah….” suasana sepi dan hening. Masing-masing diam. Monolog dia dan dia. Itulah aku yang sentiasa menjadi saksi kala senja. Senja di tengah malam. Kelam bersama ritma menyayat jiwa sebagai kekuatan untuk terusan kuat dan tabah pada jalan bahagia yang dipilih.

Bahagia kita punya derita.

Derita yang menjadi asbab untuk kita hargai setiap bahagia yang mendatang.

Bahagia kita mungkin tidak serupa pada fatamorgana yang awam sering papar.

Bahagia kita sebuah kisah Tenggelamnya Kapal Van Der Wick.

Bahagia kita seperti Pulang.

Bahagia kita jua seperti kisah yang tidakkan menjadi pilihan sesiapa untuk bahagia.

Tapi dia bahagia. Dia tenang dan senang dengan setiap badai.

Orang kata usah berpasakkan rumah ditepian pantai jika ingin bahagia berpanjangan. Namun jarang orang bercerita bahagia dilambung badai itu lebih mahal nilainya kerna tenang itu buat mereka hilang rasa.

“Kau tak usahlah nak bermadah pada kata yang terlalu melangit metafora jika sekadar memujuk jiwa yang sedang parah ke langit kosmos tiada kembali…aku tahu kau sendiri selalu mengilau tangis. Seolah itulah tawa pada jiwa yang terhiris. Kenapa di pilih jalan ini?”

Angkat bahu.

“Alang-alang perit itu biarlah pahit terus. Hahahahaha…” dia ketawa berseloroh menapis setiap esak yang kian menghuni.

“Hidup ni kalau terlalu difikirkan pada koyak semata, sampai bila tidakkan maju. Aku punya cerita aku, dan kau punya cerita kau. Mungkin novel kita tidak sama genre, kisah kita tidakkan tersiar dalam slot yang sama. Ini bukan drama yang dinanti bagi Slot Akasia, Azalea, Samarinda atau apa saja slot yang TV3 tayangkan. Mungkin Disney+ ada…mungkin…”

Senja tetap berakhir. Setiap mula punya akhir. Namun Senja pada aku, selamanya ‘kan hadir….

Senja itu mereka sendawa besar selepas melahap empat biji durian. Dan kita bahagia…

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Scroll to Top