Search
Close this search box.
ice crystal, ice cream, frost-7667215.jpg

Sang Rama Kaca…

Hidup ini bukan sekadar pelangi dan rama-rama semata.

Ia lebih dari taufan, banjir kilat, beliung, tanah runtuh dan segala malapetaka yang bergaris jujuknya. Ia lebih dari segala yang diperkata lisan dan dialam perasaan.

Ia sesuatu yang hendak diluah tetapi tiada satu bahasa yang dapat diperbahaskan. Ia hidup dalam jiwa. Bergema dalam kepala dan terngiang di mata…

Hidup hujahannya selalu banyak. Metafora demi metafora dia beralih madah. Menulis segala khilaf, mencorak setiap langkah. Hari demi saat dia semakin kuat.

Tipulah jika berkata dia tidak lelah. Lelahnya kadang mahu saja dia beralah. Namun itu bukan pilihan mahupun jawapan.

Ia ada tunggak yang perlu diperjuang. Bukan sesuatu yang perlu dibuktikan. Namun, ada jiwa yang perlu pada pengharapan.

Berharap sinar mentari kan mencelah di hari suram sejuk bagai di Artik.

Dia adalah rama-rama di musim sejuk. Berkaca sayapnya hendak dikibas belum tentukan terbang tinggi.

Mutakhir ini dia sedar, hidup sekadar bahagia bukanlah cabarannya. Ujian itu penguat rasa. Ujian itu pemangkin perasaan. Bertahan atau lepas bukanlah pilihan.

Mimpi, cita dan idaman itu semua jalan yang dia fokuskan.

Dia tahu, hidupnya baru selangkah si anak yang baru belajar tatih. Tapaknya masih bulat untuk terus berdiri tegap. Dia jatuh, kecundang demi tirisan jalan yang bukan sekadar berliku namun terusan tergelincir tanpa sedar.

Ah, siapalah tidak penat dan mengeluh di hujung hari yang kelam.

Apa lagi yang hendak dirungut jika hidupnya kita memang nyata untuk diuji…

Ujian mencuci pedoman hati.

Ujian untuk memikirkan kembali, benarkah matlamat akhir dan tanduk kita selari?

Ah, alpanya sebagai manusia yang terlalu ikut pada kehendak nafsi…

Itu sudah dibuang, ini sudah ditinggal.

Kini ada dia dan kita. Membentuk jiwa yang membakar.

Kau tahukan lelahnya itu bila terlalu menjaga semua perasaan di sempadan halaqah?

Walhal, pada halaqah itu mereka terhiris bagai berpaut pada tangsi yang berduri…

Hidup sang rama kaca…

Hidup dalam kelompokan yang tidak sewarna.

Hidup di tengah mayapada yang tiada khatulistiwa…

Hidup di ufuk yang tiada senja…

Hanya artik kedinginan

Mengharap pelangi sirna di musim salji….

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Scroll to Top