Telapak tangan direnung dan dibelek lama. Terimbau segala dialog suara yang pernah cuba menilik takdir melalui garisan halus padanya…
“Garis kau begini ini, kau akan jadi si pemboros. Bukaan garis begini membuatkan kau …”
Dan suara itu hilang. Bukan saja dia tidak fokus mendengarnya. Bahkan tika itu, untuk mempercayainya juga suatu syirik khafi…Dan malam ini dia termenung, merenung telapak yang kian ketara segala garisannya.
“Eh…kenapa tangan kamu macam orang tua? Hahahaha” laju dia menyorok tangannya apabila rakan mengejek seolah tangannya tidak sepadan dengan usia tika itu…
Ya…tangan ini jualah yang tidak pernah luka tika memegang parang menetak ayam dalam keadaan yang rabun…Tipis dia senyum. Ah, peristiwa lalu..seperti semalam semua ejekan itu dia terima…
Apa lagi yang direnung pada telapak ini?
Untuk melihat kemana halanya kemudian? Atau benarkah setiap orak yang dia kemudi? Tanpa sedar terasa irisnya berkaca… Ah…hembusan berat memuntahkan segala rasa yang dia sendiri tiada tafsir meneka…
Iya…garisan takdir itu dia cuba selusuri tanpa sebarang tekaan atau tebakan. Hanya laluinya dengan hati yang kental dan jiwa yang tekad…
Alah…takdir, takdir, takdir…benda boleh ubah kot. Ada hati nak salahkan takdir. Menyampah…
Ya, mungkin itu jawapan enteng pada sesetengah pihak..
Ha ha ha ha…dia hanya mampu gelak sumbing. Iya…aku jua sepertinya itu dahulu. Kala tidak mengerti langit tinggi rendah, tanah tidak bertapak…sekarang, kau juga terjerumus menelan segala kata sendiri. Itulah…orang dah kata…jangan pernah rasa setiap ujian itu kita dah rasa…Jangan…
Ya…fiksyen olahan dia buat penyedap rasa. Seperti masakan yang tidak percaya pada garam dan gula lantas ditambah serbuk aji serta perasa lainnya…cendawanlah…serbuk bawang putihlah…kemudian ia tidak lagi sekadar terikat pada garam dan gula…bahkan tanpa keduanya juga tidak mengapa…
Ah…bahaya ini.
Tak lama lagi, tiada lagi teriakan deruan enjin keretapi yang menjadi peneman, jam alam semesta yang menjadi penanda aras waktu buat dia…
Tiada jua pemandangan itu ini yang tidaklah dia rindui tapi sudah terpahat sebagai memori. Pada bayangan senja pohon lidah buaya kala hari suram. Pada warna jingga…yang sentiasa mencuba menyerikan ruang gelap baitnya…
Baiti Jannati…hahahaha ye ye je kau kan…
Kawasan yang dulunya lengang kini sudah berwarna warni gemilang. Ya…semuanya indah selepas dia tiada.
Garisan takdir setakat ini katanya….ada aturan lain lebih baik buat kita bisiknya…insyaAllah…
Kenapa kamu menangis teman?
Akukan masih disini, menemani setiap harimu…tanpa jemu…kenapa aku teresak itu? Sekalah air matamu kawan…
Ya aku tahu….ada jiwa telah tertumbuh pada kehidupan yang kita sudah tekad untuk tidak punya rasa padanya.
Bagaimana boleh menumbuh jika sudah tekad?
Kehidupan berlaku…kehidupan harian, rutin nan selesa. Membuah segala rasa sayang…
Ah…sudahlah, tiada apa yang kekal. Pada akhirnya kita tidak juakan berpasak pada satu tempat. Hijrahlah teman, hijrahlah demi kebaikan…
“Ia…tiada bertempat…kerana tempat Dia yang menjadikan…
Dia memberi tiada mengambil manfaat, kerana dia tiada berhajat…
Tiada didahului oleh tiada, zatNya tidak dapat difikirkan,
Bagaimanapun dibayangkan
Itu semua mainan setan
(Bila dia Zat Yang Maha Agung)….”
Ada satu sudut itu, masih terpahat benar setiap suatu yang dia belajar tanpa sedar. Selagimana ia menjadi tali keledar hidupnya, selagi itulah dia tidakkan lekang dari mengingatinya…
Garisan takdir…
Siapa pun tidak tahu selusurnya bagaimana.
Siapa pun tidak pernah tahu aturannya itu samakah dengan kehendak ingin kita.
Kadang, terasa seperti sudah elok pada jalanNya…
Itu semua rasa semata. Tiada yang hakikat…
Yang tahu hanya Dia….
Kita? Berdasarkan logik dan emosi, imbalannya sudah menjauh…
Cuma doanya…semoga kita husnul khatimah…
Apa jua kehadapan, semoga ditabahkan jiwa dengan redha….
Senyumlah teman…garisan jalan kita masih belum selesai…perit bagaimana sekalipun, tetaplah tersenyum…
Ah…dongengan palsu rekaan syahdu nyata menyiat jiwa yang sedang sendu…
Sudah…usah terlalu difikir. Serahkan segala pada Takdir.
Persiaga juga segala mungkir.