Framed quote 'Start each day with a grateful heart' next to a vase indoors.

Inikan Cuma Dunia…

Alhamdulillah atas segala kurnia rezeki Allah setiap hari tanpa henti buat kita hambaNya. Rezeki untuk bernafas, masih waras, punya ketenangan, Iman, Islam serta Ihsan…

Rezeki yang jarang disyukuri oleh kita. Aku terutamanya.

Semalam, minggu lepas, terasa berat dijiwa. Mungkin menumpang rasa atas kesayangan hati kehilangan sahabat beliau. Kendian, aku pula di fasa seolah hilang waras dalam bersyukur walhal tiada sebab apa pun. Cuma ianya buat aku termenung hingga melilau entah ke mana.

Itulah…otak ni kalau melilau tanpa ingat Tuhan, memang akan jatuh kufur nikmat. Bahaya…

Pentingnya punya insan yang selalu ada dengan kita adalah, mereka tunjang kekuatan kita. Lagi pula buat insan yang memilih untuk bersama dan dipilih dia untuk harungi segala…

Kadang ditanya, kita ini akan okay ke?

Jawapan yang kita cuma ingin dengar adalah sebuah ‘Ya, insyaAllah kita akan baik-baik saja…semuanya akan okay…’

Dan tanpa sedar, kekuatan itu hadir semula seperti sebuah tepukan dan tarikan tangan kala kita sudah tidak betah untuk berdiri saat terduduk. Ah…inikan cuma dunia. Usah terlalu dikira sangat…sakitnya tiada tanding dengan khabar gembira di sana.

Sebuah pemergian atas dunia hanya sementara. Rezeki kitakan bertemu di Sana bersama. InsyaAllah…

Sepertinya kelelahan dunia ini cuma sebuah ujian untuk mencuci jiwa yang penuh segala debu dan likat kerak dosa. Aku ini diusia begini, memang entah sudah pekat manalah dosa yang harus ditanggal dari jiwa.

Belajar pujuk diri, inikan cuma dunia.

Belajar hargai setiap nikmat yang diberi, tidak kira sebesar mana yang diterima…

Belajar tersenyum walau ia mengundang luka dijiwa…

Kerana, ini hanya dunia duhai diri…

Dunia itu dimata Allah pun hina, mengapa kita manusia beria untuk mengejarnya? Usahlah terpedaya diri…

Aaaa sedih… mahu bersedih juga.

Tidak mengapalah jika ingin bersedih…sandarkan kesedihanmu pada hitungan dosa dan hari akhirat. Bukan kerana tidak mendapatkan dunia seperti yang direncana. Kelak kamu menambah rasa tidak bersyukur saja…

Nak nangis…huhuhu

Sabar…inikan cuma dunia. Tempat untuk bersedih dan air mata. Niatkan segala titisan air matamu itu agar menjadi pemadam api neraka….

Nak nangis lagi…iya iya menangislah diri. Selagimana menangis di dunia ini, kamu dikira bertuah punya jiwa yang mudah terusik. Sensitif pada dosa…ah,…kalau setulus itu jiwa kita, nescaya tiada lagikan mahu pada dunia yang hina ini.

Allah…selamatkan jiwa yang sedang rindu pada akhirat ini…tenangkanlah ia agar pengakhiran dan pertemuan di akhirat kelak merupakan suatu senyuman dan khabar gembira.

Tidak mengapalah jika dunia ini sebuah tempat ujian dan air mata. Kerana, inikan cuma dunia…

Tenang jiwa. Walau ia bergolak, senyumlah demi sebuah kebahagian yang hakiki di negeri abadi…

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
Scroll to Top