Search
Close this search box.
laptop computer, tray, tea-1245981.jpg

Mimpi masa lalu

(Bicara dalam dialect indonesia)

Kau pernah mimpi?

Mimpi bertemu peri-peri yang akan merealisasikan segala impi menjadi realiti?

Geleng. 

Aku tidak percaya pada peri. 

Kenapa?

Kerna peri selalu mengecewakan banyak jiwa…buat mereka lupa pada kuasa yang lebih besar dari angan si peri…

(Sinetron tamat)

###

Belum mula menulis sudah mengantuk. Biasalah menulis kala mata sepatutnya lena, aku paksa ia untuk buka dan berkerah tenaga memikirkan perkataan yang serima nadanya. Bismillah awalun kalam pemula bicara…katanya lima belas minit yang lalu.

Jam sekarang menunjukkan pukul 0221. Bermakna, ada tiga jam lebih mahu ke waktu subuh. Ah, setiap malam dia qiamullail. Tanpa solat. Bagaimana, dikirakah itu sebagai berjaga malam? Wallahua’lam…

Sambil mencari latar muzik yang sesuai, aku mulakan penulisan dalam keheningan malam. Gelapnya tenang. Sunyi mengasyikkan si pemejam mata yang sudah panjang mimpinya. Ingin aku turut serta, tapi mimpiku….terlalu berat dan sarat dengan kata yang aku sendiri sukar untuk bernafas kala menceritakannya. Terasa lena seharian pun tidak mampu untuk membendung mimpiku ini.

Mimpi…

Zaman kanaknya pernah bermimpi, mahu menjadi manusia termuda membuka resort atau hotel atau sebuah kompleks perlancongan. Nyata masih jadi angan walau sudah menjangkau dua puluh tahun kehadapan.

Maka, dia mimpi lagi…

Untuk menjadi manusia yang berjaya meraih sebanyak “A” dengan hanya empat bulan belajar. Tidak juga berjaya…dia mulai merasa lelah untuk berangan dan mimpi disiang hari. Tapi, harapan nan secubit mengetuk mindanya agar terusan mencari. Tanpa henti. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran dunia di setiap jemari.

Ketika berada di pengajian tinggi, dia pilih untuk hidup berlainan identiti. Kononnya fokus itu bercabang dua, tapi dia buta pada cabang yang lagi banyak tidak kenampakkan walau sekadar bayang. Dia sudah terjerat dan tersesat dalam keriuhan amukan gila mimpinya yang mahu mengejar semua dalam sekelip mata. Dunia sudah membutakan setiap deria kemanusiaan yang dia pernah penjara suatu tika.

Cinta dunia memakan diri. Dia mengejar, dia terkejar.

Lelah!!!

Tersungkur di tirai mimpi. Tertarik tabir yang selama ini dia cuba untuk sembunyi. Penghujungnya….dia tetap menangis sendiri.

Esakan semalam menjadi percikan bara pada jiwa yang masih percaya pada sebuah mimpi.

Percaya, kuncinya. Percaya adalah fius pemula buat dia lebih gagah.

Percaya yang setiap direncana walau rapuh, dengan tekad dan usaha serta izinNya, dia pasti kan berjaya.

Percaya.

Yakin pula arangnya.

Yang sentiasa menghangatkan bara mimpi itu agar terusan membakar segala anasir yang luar dari kawalannya.

Mimpi —-> Percaya —-> Yakin —> Tindakan —-> Terserah pada Tuhan

Apa kau pasrah selepas bertindak? Semudah itu kau berserah? Kelihatan lemah di medan perang. Belum masuk bertempur, baru bunyi gempita, kau sudah rebah. Heh, keluar sajalah dari medan…

Lalu dia keluar. Bukan keluar dari medan pertarungan. Tapi keluar menjadi pendekar yang mengetuai pasukan. Pasukan mimpinya yang sekian lama lena hingga diketawakan setiap darinya.

Apa yang harus dimalu?

Malu itu letaknya bertempat. Malu tidakkan membantu mimpi. Malu, kitakan tersesat. Malu hanya pada satu. Adab. Bukan pada pembangunan kendiri.

Boleh terkandas tumbesaran jika malu tidak mengenal laluan.

Itu, sana lorongnya malu.

Sini lorongnya hanya mahu memajukan diri.

Kalau dipermainkan kata itu hanya sekadar untuk mainan bibir, usahlah berkata-kata. Kata itu harusnya dikota. Kata itu, harusnya dipelihara untuk yang selayak mahu menerima.

Kerna telinga, bukan cawan kertas yang kau boleh sewenangnya menuang kata-kata manis murahan yang berakhir dengan hurungan semut merah yang menyakitkan. Telinga itu, wayar yang menghubungkan melodi yang merdu menyimpul setiap satunya menjadi lagu.

Liur itu pula, bukan siraman untuk si cawan penuh.  Liur adalah liabiliti dari Tuhan. Harus bijak menjaga agar tidak berhutang yang sia. Cukainya bukan calang-calang. Bukan boleh dibayar dengan ringgit Malaysia mahupun dolar Amerika.

Hatta ‘maaf’ dan ‘terima kasih’ jua belum tentu dapat membayar segala piutang walau fizikalnya resit telah dikeluarkan…

Mana isunya mimpi, hingga ke liurnya basi?

Usah malu untuk bermimpi walau disiang hari. Ia percuma. (Dalam tempoh awalan). Kemudian, kau harus bayarnya berterusan.

Mimpi bukan lagi prabayar. Mimpi adalah pascabayar tunggakan bil yang kau harus laksana secara harian…

Kerna mimpi itukan menjadi nyata, bila kau komited untuk mengejarnya dalam setiap tindakan.

Mimpi masa lalu itu masih aktif walau telah bertukar pelan talian. Yang penting ia masih bergantung pada satu hayat. Nyawamu….

-0343-Masa untuk bermimpi….-

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Scroll to Top