rocks, cairn, balance-15712.jpg

Saujana September

Dalam pelarian melarikan diri dari sebuah memori yang sukar untuk dilarikan, aku membawa diri. Jauh ke tanah orang. Ah, konon jauh. Walhal sekerat cuma. Jika benar boleh lari sejauh mungkin itu boleh merawat dari segala, sudah lama aku lari semahu mahunya jauh ke alam sana.

Tapi, tidak kata takdir. Aku, masih disini…

Saujana September dimulakan dengan sebuah pemandangan baru. Mengorak langkah walau lesu. Tetap bertatih walau hati sudah kata tidak mahu. Jenuh diperah segala rasa yang bukan lagi hak dia untuk merasa. Argh!

Kehidupan jiwa yang sentiasa ingin pada sesuatu yang tiada akhir.

‘Kau, harus lepaskan ia pergi’ kata Hati.

Aku merenung dalam ke dasar isi yang Hati cuba sampaikan.

‘Kau, tidak lagi menangis pada yang tiada hak. Kau sudah kembali senyum…aku suka’ dia tersipu bersahaja.

Segaris senyuman ini hanya terjadi selepas sedekad dia mengerah keringat agar jadikan Dia sebagai sandaran. Alpa!

‘Itulah kau, nak kata bodoh, dekan jugak tiga sem. Tapi punyalah mahal yuran kebodohan kau, sampai begini sekali penangannya…’ Akal hanya menggeleng. Hendak dikesal, segala sudah menjadi lepas. Jiwa hanya termangu. Sukar benar untuk Minda keluarkan segala ingatan yang tiada lagi guna untuk perjuangan mereka.

‘Kau rasa, kita akan berjaya?’ soal Iman pada mereka.

Hati, Akal, Minda, Jiwa hanya diam seolah berteleku. Apa kata Raja dalam diri mereka. Di mana mereka 5 saat akan datang, mereka jua tidak tahu. Samalah seperti jemari yang menaip ini. Itu semua gerak dari suatu kuasa yang amat ajaib.

Aku, di sini…mendengarkan satu lagu bertajuk ‘Broken Road’ tanpa henti. Lagu yang sama berputar sejam yang sudah.

‘Apa mesejnya?’ tanya Akal.

‘Hurm…dia lagu fasal orang yang terusan mencari sesuatu bagi mengisi jiwanya yang tiada isi yang benar…’ itu jawapan Minda.

‘Ke mana kita esok Iman?’

Iman menjuih. Tidak tahu.

Sejak dewasa ini, Iman lebih gemar bersendiri. Menangis pada tingkah Akal dan Jasad yang sering buat Iman merasa seolah neraka itu seinci dekatnya. Ah, Iman menangis teresak bagai orang dirasuk. Menangis di atas sikap yang dia sendiri gagal untuk bendung.

‘Sudah sudahlah tu Iman. Kita, manusia. Pasti ada khilaf. Ini pengajaran paling abadi yang kita akan ingat. Jangan terlalu menghukum jasad. Dia perlukan kita untuk kuat…’ pujuk Hati. Bahu Iman ditepuk perlahan. Sudahnya tangisan Iman semakin menjadi…

Jasad mereka terhenti. Hanya Minda merencana, apa akan mereka atur untuk teruskan perjuangan dan impian.

Saujana September.

Walau tiada kelibat pantai yang dilihat sepertimana yang direncana, namun jiwanya sudah lama lemas di lautan yang tidak berdasar. Seolah lautan dan angkasa itu alam yang satu. Sekejap dia terasa seperti terlambung dek ombak. Sebentar lagi mualnya dia seperti berputar di ruang zero graviti.

‘Aku ingin Pulang.’ Desis Jiwa.

‘Aku pun…’ Hati menyambung.

‘Samalah sepertiku…’ ujar Akal sejajar jua mereka yang lain turut mengangguk.

Hati, Iman, Nafsu, Akal…Jiwa, Jasad, Minda…memandang pada aku. Si penaip segala cerita. Pengubah segala jalan cereka. Sejajarkah dengan Takdir? Aku geleng. Angkat bahu. Jawapan itu selamanya aku tidak akan tahu.

‘Siapakah Raja dalam diri kini?’

Semua diam.

Saujana September melesapkan segala ingatan dan pengharapan pada suatu yang punya nyawa.

Manusia akan binasa.

Ini semua sementara.

Dia akan pulang bila-bila masa.

Jam 0042, mata mengalih pandang pada waktu. Sudah masa untuk beradu. Jasad perlu pada tidur. Walau hati ingin lagi bermenung. Borak bersama Akal dan Minda di persisir pantai yang tiada pasir.

Dia akur. Tidur itu fitrah. Aku ini manusia. Lemah dan selalu salah. Aku…mengalah. Bukan erti aku kalah. Tapi akur pada fitrah…

Namalah manusia. Hamba sahaya pada Dia. Bukan sesiapa….

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Scroll to Top